Tuesday, February 28, 2012

Catatan Perjalanan Suci Ke Masjidil Aqsa 2



Alhamdullilah... barulah Mak Jah ada kelapangan untuk menyambung catatan perjalanan Mak Jah yang seterusnya di bumi Baitul Maqdis. Selepas beredar dari perkampungan Nabi Isa, kami bertolak ke Masjid Ibrahim di Khalil, Palestin. Sila ikuti cacatan Perjalanan Mak Jah yang pertama dahulu barulah kawan-kawan dapat mengikutinya daripada mula. 


Apabila sampai di check point untuk masuk ke kawasan Masjid Ibrahim, kami dikejutkan dengan tentera-tentera Israel yang menahan bas rombongan kami. Perasaan kecut dan gerun tetap ada maklumlah Mak Jah mana pernah tengok keadaan tentera Malaysia memegang pump gun yang besar macam ni di setiap check point dan bandar-bandar yang dilalui. Tetapi di hati Mak Jah sentiasa berdoa dan berserah kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan kami di sini. Pemandu pelancong berbangsa Palestin telah turun untuk berbincang dengan mereka. Ketua pelancong kami yang mengikuti rombongan ini dari KLIA adalah rakyat Singapura. Dia memaklumkan kepada kami, rombongannya yang terdahulu tidak dibenarkan masuk ke Masjid Ibrahim. Apabila mendengar berita ini, Mak Jah merasa sedikit terkilan kerana di dalam Masjid ini terdapat Makam Nabi Ibrahim dan isterinya, Sarah. Mak Jah sungguh bersyukur kerana setelah berbincang beberapa minit dengan tentera Isreal, rezeki menyebelahi kami apabila kami mendapat kebenaran untuk masuk ke Masjid Ibrahim.




Inilah dia gambaran Masjid Ibrahim. Mak Jah tak berani nak ambil banyak gambar di sini memandangkan kawalan begitu ketat. Kami melalui beberapa sekatan dan pemeriksaan oleh tentera Israel. Setelah itu kami melalui lorong-lorong untuk memasuki kawasan Masjid dan ketika itu terdapat beberapa orang kanak-kanak Palestin datang menghampiri kami. Seorang kanak-kanak lelaki yang berumur lebih kurang 7 atau 6 tahun datang bertanya.


"Are you muslim?". Mak Jah berpaling ke arah kanak-kanak Palestin yang berbahasa Inggeris itu lalu mengangguk dan tersenyum ke arahnya. "Do you come for praying?". "Yes", hanya itu yang mampu keluar dari mulut Mak Jah. " Good..., good, this way please", budak kecil yang comot tetapi sungguh comel itu menunjukkan arah menuju ke pintu masuk Masjid Ibrahim. Mak Jah bergegas meninggalkan budak itu kerana kami telah diberitahu oleh pemandu pelancong untuk tidak mendekati atau berbual dengan rakyat palestin kerana takut disyaki oleh tentera-tentera Israel.




Inilah dia Makam Saidina Ibrahim (a.s).




Ini pula makam Saidatina Sarah iaitu isteri Nabi Ibrahim. Terselit juga gambar seorang anak Palestin di dalam gambar tersebut. Di dalam Masjid ini juga terdapat Makam Nabi Ishaq (a.s.) dan isteri baginda serta Makam Nabi Ya’acob (a.s). Malangnya kami tidak dapat melihat Makam Nabi Ismail (a.s) kerana menurut pemandu pelancong Makam Nabi Ismail terletak bersebelahan masjid ini tetapi di kawasan milik Israel.




Setelah Mak Jah keluar dari Masjid, beberapa orang kanak-kanak datang menghampiri rombongan kami sambil menghulurkan tangan meminta wang. Tiba-tiba seorang tentera Israel menghampiri Mak Jah dan berkata "Don't give them money!". Mak Jah agak terkejut lalu hanya mengangguk dan cepat-cepat beredar menuju ke bas.


Menjelang petang hari barulah kami tiba ke Hotel Holy Land. Kawan-kawan boleh rujuk ke laman web http://www.holylandhotel.com/ untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan lokasi hotel ini, melihat foto dan sebagainya lagi.




Inilah pemandangan 'Dome Of Rock' dari bilik hotel Mak Jah. Hati Mak Jah begitu teruja dan dah tak sabar untuk melihat kehebatan Masjidil Aqsa. Inilah arah kiblat pertama umat Islam sebelum peristiwa Israk Dan Mikraj. 


Mak Jah bergegas siap dan mengambil wuduk kerana hajat di hati mahu pergi menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjidil Aqsa. Jika di lihat dari hotel, lokasi ke masjid sangat hampir tapi malangnya ia dikelilingi dengan tembok-tembok tinggi untuk menghalang rakyat Palestin dari masuk ke dalam masjid. Menurut cerita pemandu pelancong hanya lelaki dewasa berumur 40 tahun ke atas dibenarkan bersolat di dalam masjid.


Akibat perjalanan yang jauh dan melalui lorong-lorong yang bertangga, Mak Jah dan rombongan tidak sempat untuk solat berjemaah. Di kawasan ini juga dipenuhi dengan tentera-tentera Israel. Apabila kami bertanyakan arah ke Masjidil Aqsa, pertanyaan kami tidak dilayan dan mereka menyuruh kami pergi saja ke 'Dome Of Rock' serta memberitahu kami Masjidil Aqsa sudah ditutup pada waktu ini. 




Setelah selesai solat Isyak penjaga masjid telah mengarahkan kami keluar kerana mereka mahu menutup pintu masjid. Kami tidak mempedulikan arahannya malahan kami berusaha untuk menjejaki batu tergantung yang terdapat di dalamnya. Batu yang mahu mengikut Nabi Muhammad s.a.w ketika peristiwa Israk dan Mikraj.




Inilah gua di mana Rasullullah s.a.w mengerjakan solat sunat di dalamnya dan terdapat batu tergantung. Mak Jah sungguh bersyukur kerana Mak Jah dapat berada di sini, dapat berada di dalam 'Dome of Rock', melihat batu yang tergantung dan mengerjakan solat sunat 2 rakaat di dalamnya. Tetapi di hati masih tidak merasa puas kerana Mak Jah sudah tidak sabar untuk melihat kehebatan Masjidil Aqsa, Mak Jah mahu beribadah di dalamnya dan sekaligus mendapat ganjaran pahala 1 solat sebanyak 500 solat, wallahualam.


Rasulullah SAW bersabda “Kelebihan bersolat di Masjidil Haram daripada tempat selainnya ialah dengan ganjaran 100,000 kali solat, sementara di masjidku ini pula (Masjid Nabawi, Madinah) 1,000 kali solat dan solat di Masjidil Aqsa mendapat kelebihan 500 kali solat” (Hadith dipetik dari Shaikh Ali Mohammad Mokhtar).


Tiba-tiba bahu Mak Jah dicuit suami Mak Jah, "Mari kita keluar dari Dome Of Rock dan cari Masjidil Aqsa". Perasaan Mak Jah kembali ceria, kalaulah Masjidil Aqsa telah tutup sekalipun, Mak Jah tetap mahu berdiri di hadapannya dan melihatnya dari luar pada malam ini juga. 




Alhamdullilah, sampai juga kami di hadapan Masjidil Aqsa. Tergamam Mak Jah dibuatnya. Mak Jah lihat beberapa orang ahli rombongan kami bergegas masuk ke dalam. Subhanallah, belum tutup rupanya. Syukur kepada Allah, mak Jah sempat mengerjakan solat sunat di dalamnya. Air mata sudah mula menitik kerana Mak Jah tidak sangka Allah mengkabulkan doa Mak Jah untuk berada di dalam masjid ini. Perasaan menjadi lebih sedih apabila teringatkan kata-kata pemandu pelancong tadi, rakyat Palestin yang tinggal di kawasan bersebelahan tembok ini hanya mampu mendengar laungan azan tetapi tidak dapat menjejakkan kaki mereka ke Masjidil Aqsa. 'Ya Allah, terlalu banyak yang engkau telah berikan kepadaku tetapi aku, hambaMu ini masih lalai dan alpa dalam mengikuti suruhanMu'.....




Inilah arah kiblat pertama umat Islam dan menurut pemandu pelancong kami, Nabi Muhammad s.a.w telah mengimamkan sembahyang sunat di sini sekembalinya Rasullullah s.a.w dari peristiwa Israk Dan Mikraj.




Inilah dia pemandangan di dalam Masjidil Aqsa. Alhamdullilah sepanjang Mak Jah berada di sini, dapatlah Mak Jah solat subuh secara berjemaah. 






Mak Jah harap selepas ini kawan-kawan Mak Jah akan lebih memahami bahawa kubah emas yang cantik, yang selalu kita lihat itu bukanlah Masjidil Aqsa dan ianya dipanggil 'Dome Of Rock'. Inilah dia kubah Masjidil Aqsa yang sebenar. Kita sering ditipu oleh golongan yahudi yang sengaja hendak memperbodoh-bodohkan kita umat Islam.


Selepas ini, Insya Allah Mak Jah akan menyambung Catatan Perjalanan Suci Ke Masjidil Aqsa 3. Di mana Mak Jah akan menyentuh tentang lawatan kami ke beberapa tempat sekitar kawasan Masjidil Aqsa, Makam Rabiyatul Adawiah dan Makam Salman Al-Farisi.   



No comments:

Post a Comment